Tuesday, July 12, 2011

Satu Catatan Perjalanan di Tasik Chini selepas 2004(mobiliti pelajar 2011)

.....Kuala Gandah Pahang....

AHAD, 10 Julai 2011;
Aku serta sdr. Kamarul membuat rakaman video 'UKM-Global Students Mobility Partnership'
di Kuala Gandah dan Tasik Chini. Kami dijangka akan bergerak ke Kuala Gandah
Pahang untuk membuat rakaman video 'program mobiliti pelajar'
kumpulan sains. Disebabkan masalah teknikal yang tidak
disengajakan atau tidak dapat dielakkan, kami bergerak ke Kuala Gandah dengan
kereta sdr. Kamarul Baharin(terima kasih Kam....)

Kami tiba di Kuala Gandah hampir tengah hari. Sukar juga untuk mencari jalan ke sini dan kami 'terkena', kerana mengikuti laluan yang agak jauh jugak.

...Dr. Habibah....sorry jika silap nama...

Tiba di Kuala Gandah, sdr. Kamarul dan aku mula membuat rakaman (sebenarnya Kamarul yang lebih membuat rakaman) di Kuala Gandah ini. Kuala Gandah ini merupakan pusat pemuliharaan gajah dari seluruh Semenanjung Malaysia, yang telah dibuka untuk lawatan kepada umum.
Di sini orang ramai boleh melihat gajah2 tersebut ketika dimandikan dan juga berpeluang untuk menunggang haiwan daratan yang terbesar di bumi.
.........tempat penetasan anak-anak ikan.....sorry gak kalau silap...

Setelah rakaman dibuat selama lebih kurang 15 minit, kamera video kami
mengalami masalah yang tidak mampu diatasi walaupun telah dicuba dengan
pelbagai cara. Malang nasib tidak menyebelahi kami nampaknya. Setelah berbincang
kami mengambil keputusan secara bersama untuk kembali
semula ke Bangi untuk mengambil kamera video yang
lain. Jauh giler beb! perlu berada di jalanraya
sejauh lebih kurang 200 kilometer.
(* dapat tahu kamera tersebut telah diambil oleh pembekal dan dibetulkan kembali masalahnya...)

Kami kembali semula ke Bangi dengan mengambil masa selama lebih kurang 3 jam. Tiba di Bangi kami mengambil keputusan untuk membawa 2 buah kamera, andaikata sebuah kamera bermasalah maka ada lagi sebuah untuk digunakan, dan tugas kami tidaklah akan tergendala lagi...

....oh! Tasik Chini...

Walaupun kamera yang kedua, kualiti visual tidak berapa baik namun, lebih baik ada visual daripada tiada langsung...
Aku rasa macam tidak puas hati sebab kamera yang bermasalah tersebut merupakan kamera baru yang lebih kurang dua bulan kami gunakan... Setelah kamera video kami muatkan ke dalam kereta, kami mengambil keputusan untuk melalui Negeri Sembilan pula untuk menuju ke Tasik Chini, bukan melalui Karak, dengan andaian atau pandangan bahawa melalui sana akan mengambil masa yang singkat.
......Tasik Chini...semangkin tenatkah ia....?

Melalui Negeri Sembilan kami menuju ke Kuala Pilah, Bahau, Serting, Bandar Tun Razak, Bandar Muazzam, dan Tasik Chini. Ah! rupa-rupanya jalan yang kami lalui itu terasa jauh giler sangat, namun begitu akhirnya kami tiba juga di Tasik Chini lebih kurang jam 12.00 tengah malam serta terus bermalam di Resort Tasik Chini. Terima kasih kepada sdr. Fairul Surian yang lebih dikenali sebagai 'Fire' kerana telah menguruskan tempat penginapan kami....terima kasih.

Keesokan harinya iaitu Isnin 11 Julai 2011, kami turun ke Tasik Chini dengan menaiki bot untuk membuat rakaman video ketika pelajar mobiliti memasang jaring untuk menangkap ikan di tasik tersebut. Kami turun se awal jam 7.00 pagi.

....sdr. Kamarul sedang merakam 'sunrise'...

Selepas sarapan pagi pelajar program berkenaan diberi kuliah atau taklimat oleh pensyarah iaitu Dr. Habibah(tak pasti namanya...sorry kalau silap...) dan juga Prof. Datuk Dr. Mushrifah, Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini. Selesai kuliah para pelajar telah dibawa untuk melihat tempat penetasan ikan sebelum ia di kembalikan semula ke tasik.
.......pandangan tasik ketika awal pagi.....

Berikutnya pula para pelajar secara amali telah diminta membuat pemeriksaan berkaitan kualiti air di beberapa lokasi sekitar tasik tersebut. Prof. Madya Dr. Ikhwan menjadi pensyarah dalam aktiviti ini. Selepas makan tengah hari pelajar kembali ke tasik untuk memungut ikan-ikan yang terperangkap di dalam jaring yang telah dipasang awal pagi tadi. Semua spesis ikan yang diperoleh diambil data-data seperti ukuran dan sebagainya. Tugas ini dilakukan secara berkumpulan. Berikutnya pula, para pelajar dikehendaki mengambil bahagian dalam aktiviti berkayak di tasik tersebut. Dalam aktiviti berkumpulan ini mereka diminta mendayung kayak mengelilingi jarak tertentu dan kembali semula ke pantai. Ia lebih merupakan satu pertandingan
di antara kumpulan-kumpulan. Aktiviti ini selesai lebih kurang jam 6.30 petang.

.....seronok melihat Tasik Chini....alangkah canteknya jika ia terus terpelihara....

Aktiviti program mobiliti ini disambung pula pada waktu malam iaitu peserta dijamu makan malam serta dihiburkan dengan persembahan tarian sewang oleh kanak-kanak suku Jakun. Para peserta juga turut diminta bersama-sama kanak-kanak tersebut serta mereka yang berminat untuk menari bersama-sama di penghujung majlis berkenaan...Bila melihat wajah-wajah ceria dan comel kanak-kanak tersebut, tertanya-tanya jugak dibenak hati, ke mana akhirnya mereka nanti....?

.......aktiviti penyemaian biji-biji benih tumbuhan Teratai....

12 Julai 2011; jam 8.00 pagi selepas sarapan para pelajar dijelaskan cara menyemai biji benih teratai ditepi tasik. Prof. Dr. Mushrifah telah menjelaskan cara tersebut sebelum semua pelajar, terlibat dalam aktiviti berkenaan. Memang jelas kelihatan pokok teratai sudah macam pupus di tasik tersebut tidak sepertimana ketika aku membuat rakaman Ekspedisi Saintifik Tasik Chini dalam tahun 2004 yang lalu (lihat di sini). Sukar untuk melihat bunga Teratai yang berkembang di mana-mana tempat dilokasi tasik setakat yang mampu dijangkau oleh penglihatan aku.

.....aktiviti menanam anak-anak pokok....

Selepas aktiviti menyemai benih biji Teratai di Tasik Chini selesai, pelajar dibawa pula untuk menanam anak-anak pokok di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. Semua pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan.

Selepas selesai aktiviti berkenaan para pelajar dibawa ke satu lokasi di dalam hutan untuk mendengar penjelasan tentang spesis haiwan yang terdapat dalam hutan tersebut. Kelihatan dalam perangkap, spesis tikus dan burung.

...wah! sempat berfoto...

Mereka semua diajar cara-cara untuk memerangkap fauna tersebut serta mengambil data-data yang diperlukan berkaitan spesis fauna berkenaan.


Selepas waktu tengah hari para pelajar mengambil bahagian dalam menggunakan alat sumpitan. Aktiviti ini juga kelihatan seperti pertandingan di antara para pelajar tersebut.

....bangunan sementara Pusat Penyelidikan Tasik Chini...

Selepas sesi berkenaan selesai para pelajar dibawa masuk ke dalam kompleks Pusat Penyelidikan Tasik Chini yang merupakan sebuah binaan sementara, untuk mendengar berkaitan penyediaan kertas kerja yang perlu mereka siapkan serta juga untuk satu majlis penutup program ini di Tasik Chini. Selain daripada itu jika difikirkan kembali, ada jugak hikmahnya segala kejadian yang terjadi kepada kami ketika mengikuti program ke Tasik Chini tersebut...contohnya jika kami tidak berkenderaan sendiri ke Tasik Chini tentu menjadi sukar untuk kembali ke Bangi bila kamera kami mengalami kerosakan, cuba fikirkan kembali...bukan begitu....???
Sebenarnya aku telah datang ke Tasik Chini ini sebanyak 3 kali termasuk hari ini. Kali pertama semasa Ekspedisi Saintifik Tasik Chini dalam tahun 2004, kedua semasa Majlis Perletakan Batu Asas Pusat Penyelidikan Tasik Chini.
Semasa Ekspedisi Saintifik T. Chini, kelihatan banyak sungguh tumbuhan Teratai di mana-mana sahaja di sekitar dalam tasik berkenaan. Namun pada kali ini kelihatan jarang sekali ataupun tiada langsung kelihatan kembangan Teratai berkenaan, sukar giler nak jumpa walau sekuntum.... Dalam fikiran aku bersarang seribu satu tanda soal yang besar giler...kemana perginya si Teratai menghilang....???? Adakah si Teratai sudah 'merajuk' untuk berkembang di tasik ini atau adakah si Teratai sudah terancam atau sengaja diancam....? Entahlah....kita lihat apa yang akan berlaku dalam episod-episod yang akan datang..... sekian...

* terima kasih banyak2 kepada sdr. Fairul Surian @ Fire yang banyak membantu kami semua daripada UAV Penerbit UKM, sepanjang program mobiliti ini....

*aku akan cuba siapkan sebuah penerbitan video berkaitan program ini di Tasik Chini...tapi tak pasti bila, harap mampu dilaksanakan...InsyaALLAH....

daudmontakzakaria